MadaniNasionalSukan

RM15 Juta Diperuntukkan untuk Perkukuh Pasukan Harimau Malaya

Sebanyak RM15 juta telah diperuntukkan bagi memperkukuh pasukan Harimau Malaya, dengan matlamat untuk mengangkat pasukan tersebut menjadi gergasi bola sepak di rantau Asia. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam ucapannya pada Perhimpunan Bersama Warga Kementerian Kewangan hari ini, mengumumkan bahawa RM10 juta daripada jumlah tersebut akan disalurkan melalui Kementerian Kewangan, manakala RM5 juta lagi merupakan komitmen daripada pihak swasta.

Perdana Menteri menekankan bahawa peruntukan ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan prestasi pasukan, tetapi juga bagi memastikan kebajikan pemain Harimau Malaya terjaga serta untuk menggajikan barisan pengurus dan jurulatih terbaik. Beliau menegaskan bahawa pemilihan pengurus dan jurulatih yang berkomitmen, walaupun dari luar negara, akan mampu membawa nama Harimau Malaya ke tahap yang lebih tinggi dalam arena bola sepak antarabangsa.

“Kita nak pastikan kemudahan dan kebajikan pemain-pemain bola, pengurus, dan jurulatih mereka terjamin. Dengan perancangan yang teliti dan pelaksanaan yang berkesan, saya percaya Harimau Malaya mampu mengangkat nama dan kewibawaan negara kita, Malaysia tercinta,” kata Anwar.

Langkah ini dilihat sebagai usaha serius kerajaan dalam memperkukuhkan sukan bola sepak negara, khususnya dalam memastikan Harimau Malaya tidak sekadar bertanding, tetapi juga berdaya saing di peringkat tertinggi di Asia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *