
KUALA LUMPUR, 27 Ogos –Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan hari ini mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Inisiatif Masyarakat India (MITRA) di Bangunan Parlimen.
Menurut beliau, mesyuarat tersebut diadakan atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi menyelaraskan pelaksanaan empat inisiatif baharu yang diumumkan semasa sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) pada 19 Ogos lalu.
Empat inisiatif tersebut membabitkan jumlah peruntukan RM40 juta untuk memperkasakan komuniti India di negara ini, iaitu naik taraf infrastruktur, kemudahan awam dan keselamatan kampung India dengan nilai jumlah RM5 juta.
Selain itu, melalui inisitif itu turut menambah baik peralatan makmal teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) berjumlah RM5 juta.
Sementara RM20 juta diperuntukan bagi pemerkasaan rumah ibadat Hindu sebagai pusat komuniti setempat (Program Dharma Madani).
RM10 juta lagi bagi penambahbaikan dan penyelenggaraan kecil kediaman pekerja ladang.
“Fokus utama kami adalah memastikan masyarakat India khususnya golongan B40 benar-benar menerima manfaat secara langsung tanpa sebarang karenah birokrasi,” kata Ramanan dalam kenyataannya hari ini.
Dalam pada itu Ramanan menegaskan pelaksanaan inisiatif tersebut akan dilakukan secara cepat, telus dan efisien dengan pemantauan jelas, selain kerjasama erat antara pelbagai agensi kerajaan termasuk Unit Integriti dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Komitmen Kerajaan Madani adalah jelas, iaitu memastikan komuniti India tidak terpinggir dalam arus pembangunan negara. Setiap sen peruntukan akan diuruskan dengan penuh integriti supaya sampai ke tangan penerima sasaran dan memberi impak berkekalan,” katanya.
Beliau percaya, dengan sokongan semua pihak, inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri itu akan menjadi titik tolak baharu dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat India di negara ini.