
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Pekerja Gig 2025 selepas tujuh tahun penggubalannya dilaksanakan.
RUU berkenaan meraih sokongan majoriti Ahli Parlimen pada hari terakhir penggal Keempat Parlimen Ke-15, sekali gus bakal membolehkan lebih 1.2 juta pekerja gig di negara ini mendapat hak merundingkan gaji dan syarat kerja itu.
RUU dengan 112 Fasal dan dibentangkan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim itu diluluskan selepas dibahaskan 23 anggota Dewan Rakyat daripada blok kerajaan dan pembangkang.
Empat aspek utama di bawah RUU itu berpandukan permasalahan membayangi sektor berkenaan, iaitu definisi pekerja gig, majlis tiga hala untuk menetapkan isu seperti pendapatan, mekanisme penyelesaian pertikaian dan perlindungan keselamatan sosial.
Sim ketika menggulung perbahasan RUU itu menempelak tindakan pembangkang yang disifatkan keliru dengan perincian cadangan akta berkenaan apabila tidak meletakkan pekerja sektor terbabit sebagai keutamaan.
“Misalnya, Rompin (Datuk Abdul Khalib Abdullah) minta kita meneliti pelaksanaan mekanisme undang-undang berkaitan pekerja gig di Sepanyol, tetapi Machang (Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal) pula kata jangan tiru Sepanyol sebab risau pelabur lari.
“Ada (juga) seakan-akan membangkitkan kebimbangan selama ini dibangkitkan syarikat korporat. Seakan-akan undang-undang ini harus memuaskan hati syarikat korporat, kalau tidak kita jangan setuju dahulu.
“Kita perlu faham, undang-undang ini untuk memberi pembelaan kepada pekerja gig, selain mengekalkan daya saing ekonomi negara,” katanya.
Mengenai penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM), Sim berkata ia tidak bercanggah dengan penggubalan RUU berkenaan memandangkan kedua-duanya adalah perkara berbeza.
Ini kerana RUU Pekerja Gig 2025 adalah perlindungan perburuhan pekerja gig, selain kerajaan sudah membuat keputusan supaya jawatankuasa mengkaji SEGiM dipimpin Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya yakin beliau (Ahmad Zahid) sebagai antara juara perjuangan pekerja gig ini akan memberi terma, syarat, bidang kuasa dan sebagainya yang tidak bercanggah dengan RUU ini.
“Ada pihak kata RUU ini tiada penguat kuasa dan pihak berkuasa. Ini tidak betul kerana kita ada penguat kuasa daripada Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Perhubungan Perusahaan, Tribunal Pekerja Gig dan PERKESO (juga) ada agensi penguat kuasanya.
“Justeru, tak betul kalau kata tiada SEGiM, maka tiada pihak bertanggungjawab. RUU ini dan SEGiM adalah dua perkara berbeza dan kerajaan dalam proses mengkaji untuk menubuhkan SEGiM kelak,” katanya.





