
KUALA LUMPUR: Malaysia menganggap kerjasama dengan China dalam aspek bantuan teknikal dan teknologi berkaitan pemprosesan unsur nadir bumi (REE) sebagai satu pembangunan strategik.
Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Presiden China Xi Jinping menyatakan kesediaan negaranya untuk membantu Malaysia mencapai hasrat membangunkan industri nadir bumi ketika lawatan rasmi beliau ke Kuala Lumpur pada 15 hingga 17 April lalu.
“Kerajaan melihat kerjasama ini sebagai strategik memandangkan peringkat pemprosesan REE khususnya pemisahan unsur merupakan aspek paling kritikal dalam keseluruhan rantaian nilai industri ini, dan kini dikuasai sepenuhnya oleh China,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen kepada soalan Lee Chuan Pow (PH–Ipoh Timor).
Chuan Pow bertanya mengenai status terkini rundingan antara Malaysia dan China berkaitan teknologi pemisahan nadir bumi susulan lawatan Jinping dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Johari berkata, sekiranya kerjasama ini dilaksanakan, Malaysia bakal menjadi satu-satunya negara di luar China yang mempunyai loji pemprosesan nadir bumi menggunakan teknologi dari negara itu, sekali gus meningkatkan reputasi negara dalam industri berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, Jinping menetapkan syarat sebarang kerjasama hanya melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sejajar dengan keprihatinan China terhadap perlindungan teknologi.
“Perbincangan ini masih di peringkat awal dan belum ada keputusan muktamad. Tiada memorandum persefahaman atau perjanjian kerjasama ditandatangani setakat ini,” kata Johari.
Beliau berkata, kerajaan menyambut baik kesediaan China dan akan terus meneliti langkah seterusnya secara menyeluruh dan berhati-hati, dengan mengambil kira dasar sedia ada serta kepentingan negara.
China kini menguasai hampir keseluruhan rantaian nilai industri REE, termasuk pemprosesan dan pemisahan unsur.
Kajian awal oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) pada tahun 2019 menganggarkan Malaysia memiliki potensi sumber REE sebanyak 16.1 juta tan metrik.
Namun, jumlah itu masih berada pada tahap ‘sumber teraruh’ dan memerlukan kajian lanjutan bagi mengesahkan kewujudan rizab yang boleh dilombong secara komersial.






