PUTRAJAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam dijangka menjadi titik tolak penting dalam usaha membanteras amalan ‘Ali Baba’ serta memperkukuh integriti sistem perolehan awam negara.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican menjelaskan, RUU itu memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap pihak yang terbabit dalam amalan menyalurkan atau memindahkan kontrak kerajaan kepada pihak ketiga tanpa kebenaran — satu perbuatan yang sinonim dengan amalan ‘Ali Baba’.
“Ia merupakan satu kesalahan serius kerana menjejaskan integriti dan keadilan dalam proses perolehan kerajaan,” katanya dalam taklimat media secara dalam talian, hari ini.
Antara hukuman yang diperuntukkan termasuk denda minimum tiga kali ganda nilai kontrak atau RM1 juta (yang mana lebih tinggi), serta hukuman penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
RUU itu terpakai kepada semua pihak termasuk bekas penjawat awam, pesara kerajaan, kontraktor, syarikat berkepentingan, malah menteri serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan sendiri.
“Tiada sesiapa terkecuali daripada undang-undang ini,” tegas Johan.
RUU Perolehan Kerajaan 2025 mengandungi 12 bahagian dengan 93 fasal, yang dirangka bagi memastikan akauntabiliti penuh ke atas semua pelaksanaan perolehan yang menggunakan dana kerajaan. Ia turut menyasarkan untuk menghapuskan rasuah dan ketirisan dalam pengurusan kewangan negara.
Skop RUU ini turut merangkumi pelbagai entiti penerima dana awam seperti kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan mana-mana organisasi yang menerima pembiayaan kerajaan.
Bagi menjamin ketelusan dan keadilan, satu tribunal bebas akan diwujudkan sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap keputusan perolehan.
Tribunal ini akan diketuai pegawai kehakiman atau perundangan bukan penjawat awam untuk menjamin kebebasan dan kepercayaan rakyat.
“Dengan adanya saluran semakan bebas, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan perolehan boleh mencabar keputusan tersebut,” jelas Johan.
Selain memperkukuh fungsi penyiasatan melalui kerjasama dengan agensi penguat kuasa, RUU ini juga memberi tumpuan kepada dasar-dasar penting seperti penggunaan barangan tempatan, sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta pelaksanaan amalan hijau dalam perolehan kerajaan.
Johan menyifatkan penggubalan RUU ini sebagai langkah signifikan ke arah tadbir urus kewangan negara yang lebih cekap, berintegriti dan berkesan sekali gus menutup ruang manipulasi dalam sistem perolehan kerajaan.
