
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membentangkan Belanjawan 2026 dengan peruntukan berjumlah RM419.2 bilion.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, daripada jumlah tersebut, RM338.2 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus (OE) manakala baki RM81 bilion sebagai perbelanjaan pembangunan (DE).
“Sambil mengekalkan komitmen pada FRA (Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023), momentum pertumbuhan terus didukung dasar fiskal yang mengembang.
“Belanjawan 2026 akan mengumpul dan mengoptimum sumber negara termasuk dana GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan), badan berkanun Persekutuan dan syarikat MKD (Menteri Kewangan (Diperbadankan)) melalui perbelanjaan awam berjumlah RM470 bilion berbanding RM452 bilion tahun lalu.,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen.
Belanjawan yang mengangkat tema ‘Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat’ itu merupakan edisi keempat dalam siri Belanjawan MADANI dan yang pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030.
Perdana Menteri berkata, angka itu meliputi RM338.2 bilion belanja mengurus (OE) Persekutuan, RM81 bilion belanja pembangunan (DE) Persekutuan, RM30 bilion pelaburan GLIC, RM10 bilion pelaburan awam-swasta, dan RM10.8 bilion pelaburan badan berkanun Persekutuan dan syarikat MKD.
Dalam laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2026 yang dikeluarkan hari ini, Kementerian Kewangan menjelaskan kerajaan telah menyemak jumlah perbelanjaan 2025 kepada RM412.1 bilion daripada peruntukan diluluskan menerusi Belanjawan 2025 sebanyak RM421 bilion.