
KUALA LUMPUR: Program Nostalgia Anak Kampung mampu menjadi platform penting dalam menghidupkan semula memori budaya terutama kepada generasi muda sekali gus memperkukuh perpaduan nasional.
Program berlangsung sejak semalam sehingga Ahad ini di Muzium Negara di sini memperkenalkan semula permainan tradisional, makanan warisan, muzik dan seni rakyat.
Pada tahun ini Muzium Negara telah mengangkat tema Temasya Riuh Sekampung untuk memberi peluang kepada masyarakat menghayati cara hidup masyarakat kampung yang kaya dengan nilai kekeluargaan, semangat perpaduan dan kebersamaan.
Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Datuk Kamarul Baharin A. Kasim berkata, era digital kini menyaksikan penggunaan teknologi yang meluas merentasi semua peringkat umur dan kadangkala terlepas pandang kepentingan interaksi dengan dunia fizikal.
Beliau menjelaskan, program Nostalgia Anak Kampung dapat memainkan peranan memberi peluang kepada pengunjung mengenali dan merasai sendiri pengalaman kehidupan kampung melalui pelbagai aktiviti yang disediakan.

“Riuh Sekampung bukan sekadar menggambarkan kemeriahan fizikal semasa menjayakan majlis keramaian di kampung tetapi turut menerapkan amalan gotong-royong, saling membantu dan bekerjasama dalam meneruskan kehidupan seharian.
“Program ini menampilkan pelbagai aktiviti yang mengangkat warisan budaya dan tradisi kehidupan kampung sebagai asas perpaduan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Nostalgia Anak Kampung : Temasya Riuh Sekampung di sini hari ini.
Majlis berkenaan telah dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Perancangan Strategik) Kementerian Perpaduan Negara, Mohamad Sobri Mat Daud yang mewakili Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau menambah, antara tarikan utama ialah Mini Pameran melibatkan muzium-muzium Negeri Kedah, Perak, Melaka, Johor dan Kelantan, pertubuhan-pertubuhan kebudayaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memaparkan mengenai adat istiadat, persembahan seni budaya, gastronomi warisan serta kearifan tempatan.
Ujarnya, ia termasuk seni pembuatan tangan dan kraftangan daripada masyarakat pelbagai kaum serta negeri di Malaysia.
“Jabatan Muzium Malaysia turut menampilkan kelainan melalui aktiviti Rewang Komuniti Madani: 8 Kawah 8 Menu yang menjadi platform menyatukan masyarakat melalui penyediaan masakan tradisional mengikut negeri seperti Nasi Apollo (Kedah), Gulai Kawah (Kelantan), Wajik (Perak), Daging Tetel Masak Asam Pedas (Melaka), Pajeri Nenas (Johor) dan sebagainya.
“Aktiviti ini bukan sahaja mengangkat semula budaya rewang yang menonjolkan semangat kerjasama dan amalan gotong-royong malah mengeratkan hubungan antara komuniti pelbagai kaum,” katanya.

Kamarul Baharin berkata, program Nostalgia Anak Kampung merupakan salah satu program signatur Muzium Negara sejak tahun 2016.
Ujarnya lagi, ia merupakan salah satu daripada 138 program yang telah dirangka JMM pada tahun ini.
Selain itu, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan sepanjang program termasuk demonstrasi pembuatan bunga telur, tembikar India, masakan warisan dan seni mempertahankan diri.
Persembahan seni budaya turut diadakan seperti wayang kulit, dikir Barat, zapin, ronggeng, tarian India dan tarian Cina.





