
KUALA LUMPUR: Personaliti media sosial dan usahawan terkenal, Khairul Aming mencetuskan kebimbangan orang ramai selepas berkongsi foto dirinya menerima rawatan di sebuah bilik rawatan, semalam.
Khairul Aming yang juga pemilik restoran Rembayung memaklumkan keadaan itu berlaku selepas dia mengalami dehidrasi susulan menyantuni lebih 7,000 pelanggan di restoran sulungnya.
Menerusi perkongsian di media sosial Threads, Khairul berkata, doktor menasihatinya supaya memperbanyakkan pengambilan air dan mendapatkan rehat yang mencukupi.
“Selepas bergambar dengan 7,000 pelanggan, doktor suruh saya minum air banyak-banyak. Dehidrasi,” katanya.
Namun, Khairul memaklumkan keadaannya berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan serius.
“Saya okey sahaja, cuma perlu rehat yang cukup dan jangan lupa minum air,” ujarnya.
Perkongsian itu mendapat perhatian ramai apabila netizen membanjiri ruangan komen dengan ucapan kebimbangan serta nasihat agar beliau lebih mengutamakan kesihatan dan tidak terlalu memaksa diri.
Rata-rata peminat turut mendoakan usahawan muda itu segera pulih dan terus menjaga kesihatan diri.







