
CYBERJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan dalam usaha negara menuju kemajuan teknologi termasuk penggunaan meluas Kecerdasan Buatan (AI), nilai kemanusiaan tidak boleh sesekali diketepikan.
Anwar menyatakan perkara itu ketika berucap dalam sesi Temu Anwar @ Multimedia University sempena Perasmian Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan di MMU Cyberjaya, di sini hari ini.
Beliau berkata, kemajuan teknologi tidak akan bermakna sekiranya masyarakat terus terjebak dalam gejala negatif seperti buli, diskriminasi, dan perkauman.
“Kita bercakap tentang AI dan teknologi masa depan, tetapi masih berlaku penderaan, buli yang membawa maut, serta kebencian antara kaum.
“Inilah cabaran sebenar yang perlu ditangani bersama,” katanya.
Anwar turut melahirkan rasa hairan terhadap segelintir individu berpendidikan tinggi yang masih memilih untuk mengangkat isu perkauman secara dangkal dan retorik.
“Negara sudah 68 tahun merdeka, tapi masih ada yang ajak bergaduh bukan atas fakta.
“Lulusan universiti tapi perbahasan hambar dan bobrok. Hina kaum, hina agama, hina warna kulit dan itu jelas bukan pendidikan,” katanya.
Beliau menekankan pendidikan seharusnya mengangkat martabat insan, menjadikan seseorang lebih bijaksana, berbudi dan menghormati orang lain.
“Saya harap anak-anak pertahankan nilai kemanusiaan. Sampaikan kepada ibu bapa dan rakan-rakan yang negara ini perlu diselamatkan daripada unsur kebencian dan keganasan emosi,” katanya.
Dalam ucapan sama, Perdana Menteri turut menyentuh kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, pelajar Tingkatan 1 yang menjadi perhatian ramai.
Beliau menafikan sebarang cubaan kerajaan menyembunyikan fakta berkaitan kes tersebut dan menegaskan Kerajaan Madani bersikap telus serta tidak melindungi mana-mana pihak.
“Kalau betul fakta, kita terima. Tapi hari ini, ramai sangat mudah terpedaya dengan maklumat palsu.
“Kononnya ada pakar patologi terkenal beri kenyataan, bila kita semak, tiada pun nama itu dalam rekod. Palsu semata-mata.
“Saya tak peduli anak siapa. Kalau terbukti bersalah, dakwa. Itu prinsip kita. Jangan kata kerajaan mahu selindung. Kita di sini bukan untuk lindungi pesalah. Kalau buat salah, terima hukuman,” katanya.
Anwar menegaskan Kerajaan Madani berpegang kepada prinsip keadilan, ketelusan dan tanggungjawab moral.
“Inilah yang kita perjuangkan dalam Kerajaan Madani. Tidak kira siapa, hukum tetap berjalan jika ada kesalahan.
“Nilai kemanusiaan, keadilan dan kebenaran mesti menjadi asas pemerintahan,” katanya.