
KUALA LUMPUR: Seramai lima remaja bawah umur bakal dihadapkan ke Mahkamah Kanak-Kanak di Kota Kinabalu, Sabah, pada Rabu ini berhubung kes buli yang dikaitkan dengan kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, memaklumkan kelima-lima remaja terbabit, yang berusia bawah 18 tahun, akan dituduh berkaitan kesalahan membabitkan insiden buli terhadap mangsa.
“Kesemua lima remaja akan dituduh pada hari Rabu ini di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu kerana kesalahan berkaitan kes buli membabitkan Allahyarham Zara Qairina,” katanya.
Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan rasmi mengesahkan pihaknya sudah meneliti kertas siasatan yang dikemukakan oleh polis, dan memutuskan untuk mendakwa beberapa individu terbabit berdasarkan bukti dan keterangan yang diperoleh.
AGC juga menjelaskan keputusan untuk mendakwa bagi kesalahan buli tidak akan menjejaskan prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat.
Menurut AGC, siasatan terhadap punca kematian remaja berkenaan akan tetap diteruskan, dan prosiding inkues akan berjalan seperti dirancang, walaupun pertuduhan terhadap individu yang terlibat dalam kes buli telah dibuat.






