CYBERJAYA: Universiti Multimedia (MMU) menjadi institut pengajian tinggi swasta (IPTA) pertama di Malaysia menubuhkan Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan (FAIE).
Pelancaran rasmi FAIE di kampus MMU Cyberjaya disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini hari ini.
Dalam kenyataan rasminya, MMU menjelaskan FAIE bukan hanya menumpukan kepada penguasaan teori AI semata-mata, malah memberi penekanan kepada kemahiran praktikal seperti mereka bentuk, melaksanakan dan mengintegrasi penyelesaian AI yang berimpak tinggi merentas pelbagai industri.
Presiden MMU, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd Su’ud berkata, penubuhan fakulti ini merupakan sebahagian daripada usaha memperbaharui program akademik MMU agar selari dengan keperluan ekonomi masa depan yang semakin dipacu oleh kecerdasan buatan.
“Kami menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Kecerdasan Buatan Gunaan, Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Robotik Pintar, serta program pengajian Sarjana dan Ph.D yang menumpukan kepada penyelidikan dalam bidang AI,” ujarnya.
Fakulti ini turut menempatkan AI Transformation Centre (AIX), sebuah inisiatif utama hasil kerjasama strategik antara MMU dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan pelaburan bersama berjumlah RM37 juta.
AIX dilengkapi dengan 13 makmal canggih dan berfungsi sebagai hab inovasi, kerjasama antara kerajaan, industri dan akademia, pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pemerkasaan komuniti luar bandar.
“Kami amat menghargai kehadiran lebih 40 rakan industri strategik pada hari ini yang komited bekerjasama dengan MMU dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi serta bersedia untuk menyertai industri sejak hari pertama,” kata Mazliham.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia (TM), Amar Huzaimi Md Deris berkata, AI bukan sekadar teknologi, tetapi pemangkin kepada lahirnya generasi baharu pemikir dan penyelesai masalah berasaskan inovasi.
“MMU sebagai cabang pendidikan TM berada di barisan hadapan dalam misi membentuk masa depan digital Malaysia. Penubuhan FAIE merupakan langkah signifikan dalam merealisasikan aspirasi TM untuk menjadi Digital Powerhouse menjelang tahun 2030,” katanya.
Majlis pelancaran turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara MCMC dan MMU melalui AIX, bagi memperkukuh kapasiti pengajaran dan penyelidikan FAIE dalam bidang AI.
AIX juga akan berperanan sebagai wakil pelaburan strategik nasional MCMC dalam membina ekosistem bakat AI tempatan, memacu inovasi dan menyediakan penyelesaian berorientasikan industri secara mampan.
Pusat itu diterajui oleh MCMC Intelligence Chair, yang berperanan memberikan hala tuju jangka panjang dalam menjamin daya saing global Malaysia dalam teknologi AI.
