
PUTRAJAYA: Orang ramai dinasihatkan supaya memasang Jalur Gemilang dengan kukuh pada kenderaan bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan.
Nasihat itu disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata, walaupun orang ramai bersemangat untuk menzahirkan rasa cinta dan hormat terhadap bendera negara sempena sambutan Hari Kebangsaan namun jangan abaikan
aspek keselamatan awam.
“Nasihat saya, apabila kita meletakkan ataupun mengibarkan Jalur Gemilang, khususnya pada kenderaan, ia perlu dipasang dengan kukuh. Ini bukan sahaja penting dari sudut menghormati Jalur Gemilang, tetapi juga demi keselamatan awam.
“Kita bimbang kalau bendera berterbangan (tercabut), ia boleh terkena kenderaan lain, menutup pandangan pemandu dan seterusnya mendatangkan bahaya di jalan raya,” katanya kepada media selepas menyempurnakan sesi penyerahan dan pemasangan Jalur Gemilang pada kenderaan rasmi jabatan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Menara Seri Wilayah di sini hari ini.
Turut hadir Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Fadlun Mak Ujud.
Dalam pada itu, Dr. Zaliha memberitahu pengibaran Jalur Gemilang bukan sekadar rutin tahunan tetapi simbol penyatuan rakyat melangkaui bangsa, agama dan latar belakang.
“Ia cerminan jati diri rakyat Malaysia yang sentiasa menghargai nikmat kemerdekaan dan kemakmuran negara. Semoga semangat ini terus diperkukuh dalam usaha kita membina Malaysia MADANI yang lebih makmur dan harmoni,” katanya.
Majlis hari ini menyaksikan sebanyak 25 kenderaan rasmi pelbagai agensi termasuk Jabatan Wilayah Persekutuan, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Pusat Pencegahan Jenayah Nasional, Angkatan Pertahanan Awam, Agensi Antidadah Kebangsaan, Askar Wataniah Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia menyertai pemasangan Jalur Gemilang.
Selain itu, sebanyak 700 Jalur Gemilang bendera turut diagihkan pada pagi ini.






