KUALA LUMPUR: Peguam mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir merayu pertuduhan terhadap lima remaja perempuan yang dijadualkan dihadapkan ke Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu esok ditangguhkan, bagi membolehkan pendakwaan lebih berat dikenakan.
Peguam keluarga, Hamid Ismail, dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya dimaklumkan kelima-lima remaja terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan kerana kesalahan membuli.
“Kami dengan ini memohon supaya Peguam Negara menangguhkan dahulu pertuduhan tersebut. Harapan kami adalah siasatan disambung dan pertuduhan dapat dibuat mengikut Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman lebih berat,” katanya.
Menurut beliau, jika pertuduhan di bawah Seksyen 507C(1) diteruskan dan kesemua tertuduh mengaku bersalah, sebarang penemuan baharu hasil prosiding inkues atau siasatan lanjut tidak boleh digunakan untuk mendakwa mereka semula atas kesalahan lebih berat kerana tertakluk kepada prinsip “double jeopardy” di bawah Perkara 7(2) Perlembagaan Persekutuan.
Hamid memaklumkan pihaknya menghantar surat rasmi kepada Peguam Negara pagi tadi melalui emel bagi memohon semakan semula terhadap pertuduhan yang akan dikenakan.
Semalam, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar mengesahkan lima remaja perempuan akan dituduh di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu esok berhubung kes buli melibatkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir, pelajar Tingkatan Satu yang meninggal dunia bulan lalu.
Menurutnya, prosiding akan dijalankan secara tertutup memandangkan semua tertuduh adalah bawah umur.
Zara, 13, disahkan meninggal dunia pada 17 Julai di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah agamanya di Papar sekitar jam 4 pagi, 16 Julai.
Kuburnya digali semula pada 9 Ogos dengan arahan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi tujuan siasatan lanjut.
Proses bedah siasat dijalankan sebelum jenazah dikebumikan semula pada hari yang sama.
