KUALA LUMPUR: Sebanyak 73.8 peratus isi rumah berpendapatan rendah (B40) di negara ini sudah memiliki rumah.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata angka tersebut menurut Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES) 2022 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Katanya, laporan itu tersebut menunjukkan 22.8 peratus isi rumah B40 mendiami rumah sewa, manakala 3.4 peratus lagi tinggal di kuarters.
“Walaupun data berkenaan tidak memperincikan pemilikan mengikut kaum, keutamaan kerajaan ketika ini ialah memastikan setiap rakyat mempunyai tempat tinggal sama ada melalui pemilikan atau sewaan, selaras hasrat Dasar Perumahan Negara (2018–2025),” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen, semalam.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr. Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) mengenai peratusan B40 memiliki rumah sendiri mengikut kaum di negara ini dalam tempoh tiga tahun.
Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, pihaknya melaksanakan pelbagai program serta insentif bagi menyokong rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, untuk memiliki kediaman yang selesa.
“Prinsip kami ialah ‘perlindungan untuk semua’ bagi memastikan tiada rakyat terpinggir daripada akses kepada rumah mampu milik,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Kor Ming memberitahu kementeriannya sedang menggubal Rang Undang-undang (RUU) Sewaan Kediaman (RTA) bagi melindungi kepentingan serta hak penyewa dan pemilik kediaman.
“Penggubalan RUU RTA adalah selaras hasrat kerajaan bagi menggalakkan sewaan kediaman sebagai alternatif kepada pemilikan rumah.
“Ia juga selari dengan saranan Bank Negara Malaysia bahawa kerajaan perlu menambah baik sektor sewaan melalui pengukuhan aspek perundangan.
“Penggubalan RUU RTA adalah setara dengan negara-negara maju di mana sewaan kediaman dikawal selia oleh undang-undang khusus,” katanya.
