
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 25 Ogos sebagai tarikh pendengaran permohonan seorang ibu bagi menggali semula kubur anaknya, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), bagi bedah siasat kedua.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet selepas dimohon oleh pihak Ketua Polis Negara dan Jabatan Peguam Negara (AGC) agar diberi masa melengkapkan afidavit balasan terhadap permohonan ibu mangsa, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45 tahun.
Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail dinamakan sebagai responden pertama manakala Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar sebagai responden kedua
Responden pertama diwakili Peguam Kanan Persekutuan Nurul Huda Mohd Salehuddin, manakala responden kedua diwakili Pengarah Pendakwaan Selangor, Kalmizah Salleh dan Timbalan Pendakwa Raya, Allison Chan.
Menurut peguam pihak responden, meskipun kes ini melibatkan kepentingan awam, penyediaan afidavit perlu dilakukan dengan teliti kerana melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk Pengarah Pendakwaan Johor, pakar patologi forensik, ahli kimia, dan pegawai penyiasat.
Peguam mewakili Ummu Haiman, Naran Singh, memohon responden menjawab afidavit dalam tempoh seminggu serta menyerahkan gambar bedah siasat pertama.
Beliau turut menyatakan pihaknya bersedia menanggung sepenuhnya kos bedah siasat kedua, jika diperlukan.
Dalam prosiding itu juga, Naran memohon peranan Dr Bhupinder Singh, pakar perunding patologi forensik, hanya terbatas dan tidak mencampuri proses bedah siasat secara langsung.
Namun, Kalmizah mewakili AGC membantah permohonan untuk mendapatkan gambar bedah siasat kerana kes masih dalam siasatan.
Hakim Bhupindar mengarahkan kedua-dua responden untuk memfailkan afidavit balasan selewat-lewatnya Jumaat ini.
Syamsul Haris, 22, meninggal dunia pada 28 Julai di Hospital Kota Tinggi, Johor, selepas mengikuti latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Ulu Tiram.
Allahyarham dikebumikan keesokan harinya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu, Selangor.
Susulan kematian tersebut, Ummu Haiman memfailkan notis usul bagi memohon perintah mahkamah untuk menggali semula kubur anaknya bagi menjalankan bedah siasat kedua, kerana mahu mengetahui punca sebenar kematian.






