SHAH ALAM: Selangor akan melaksanakan kutipan fi kelestarian bermula 1 Januari tahun depan sebagai usaha memelihara warisan, alam sekitar dan memastikan pembangunan pelancongan negeri terus mampan.
Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Ng Suee Lim berkata, kutipan berkenaan akan dikendalikan pihak berkuasa tempatan (PBT), manakala pihak hotel berperanan sebagai pengurus bagi memudahkan proses pembayaran.
“Fi ini tidak membebankan pengunjung kerana kadarnya ditetapkan mengikut jenis penginapan, iaitu RM7 untuk hotel lima bintang, RM5 bagi hotel empat bintang, RM3 untuk hotel tiga bintang, dan RM2 bagi penginapan seperti homestay atau Airbnb,” katanya ketika sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri Selangor.
Suee Lim berkata, caj seumpama itu sudah dilaksanakan di beberapa negeri pelancongan lain seperti Melaka, Pulau Pinang, Pahang, Langkawi, Perak dan Negeri Sembilan.
Katanya, hasil kutipan akan dimasukkan ke dalam tabung khas yang diuruskan Setiausaha Kerajaan Negeri dan disalurkan kembali kepada sektor pelancongan bagi tujuan pemuliharaan serta pembangunan infrastruktur.
Suee Lim turut mengumumkan kesinambungan inisiatif “Surprising Selangor” sempena Tahun Melawat Selangor 2025, yang akan diteruskan hingga tahun depan.
Setakat suku kedua tahun ini, Selangor telah menerima 4.14 juta pelancong yang bermalam sekurang-kurangnya sehari, dengan sasaran mencecah lapan juta pengunjung menjelang hujung tahun.
“Pelawat harian pula dianggarkan sekitar 34.5 juta, tetapi angka ini berbeza daripada rekod Tourism Selangor yang hanya mengambil kira pelancong yang bermalam,” jelasnya.
Kerajaan negeri menyasarkan pendapatan RM15 bilion daripada sektor pelancongan, dengan penekanan pada peningkatan jumlah pelancong bermalam serta memastikan setiap perbelanjaan direkodkan melalui resit sah.
“Pelancongan merupakan antara industri yang berkembang pesat dan menyumbang besar kepada ekonomi negeri. Sebab itu, setiap langkah yang diambil mesti memberi manfaat kepada rakyat Selangor,” katanya.
