
SUNGAI GOLOK: Suasana gembira menyelubungi keluarga penyanyi dikir barat moden Kelantan, Eda Ezrin, apabila dia dibebaskan selepas lebih sembilan bulan ditahan di Penjara Pusat Narathiwat, Thailand.
Anak-anak Eda, masing-masing berusia lima dan sembilan tahun, tidak dapat menyembunyikan rasa gembira sebaik dimaklumkan mereka akan bertemu semula dengan ibu tercinta selepas sekian lama terpisah.
Menurut bapa Eda, Wan Ismail Wan Yusuf, 52, cucunya seronok apabila mendapat tahu berita pembebasan ibu mereka.
“Semalam, sebaik pulang dari sekolah, saya beritahu mereka yang ibu mereka akan dibebaskan dan dapat berjumpa hari ini. Mereka sangat gembira, sampai melompat-lompat kerana terlalu rindu,” katanya.
Kedua-dua beradik itu dijangka ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang petang nanti untuk menyambut kepulangan ibu mereka.
Semalam, media melaporkan Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, bersama lima individu lain, termasuk suaminya Mohd Affendi Ahmad, 35, dibebaskan oleh Mahkamah Wilayah Narathiwat selepas pihak pendakwa raya Thailand gagal mengemukakan saksi dan bukti mencukupi untuk merayu kes mereka.
Mereka sebelum ini dituduh memiliki 6,059 pil Yaba dan penggunaan bahan terlarang serta didakwa di mahkamah pada 14 Januari lalu.
Namun pada 6 Mac, mahkamah membebaskan kesemua tertuduh daripada pertuduhan memiliki dadah tersebut.
Pembebasan ini menamatkan penantian panjang dan tekanan emosi yang dihadapi oleh keluarga, terutamanya dua anak kecil yang telah sekian lama mendambakan pelukan seorang ibu.
Eda Ezrin sebelum ini dikenali ramai melalui lagu popularnya, ‘Bea Sobar Bea’, yang cukup sinonim dengan dunia dikir barat moden Kelantan.