
GEORGE TOWN: Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, menafikan dakwaan kemasukan pelajar dari China ke universiti awam (UA) menjejaskan peluang pelajar tempatan untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam negara ini.
Beliau berkata, tuduhan kononnya program asasi di universiti awam kini dipenuhi oleh pelajar antarabangsa, khususnya dari China, adalah tidak benar dan tidak berasas.
“Kita tidak pernah mengorbankan dasar seperti yang ditetapkan oleh Unit Pusat Universiti (UPU).
“Keutamaan di IPTA sentiasa diberikan kepada pelajar Malaysia kerana IPTA berfungsi untuk memberi pendidikan kepada anak-anak tempatan,” kata beliau.
Zambry berkata demikian kepada media selepas merasmikan IEEE International Symposium on the Physical and Failure Analysis of Integrated Circuits (IPFA) 2025 di Pusat Konvensyen Setia Spice, Bayan Lepas, hari ini.
Penjelasan ini dibuat susulan kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong di Parlimen semalam yang mendakwa pelajar dari China lebih ramai diterima masuk ke universiti awam kerana mampu membayar yuran lebih tinggi, berbanding pelajar Malaysia.
Zambry berkata, kehadiran pelajar antarabangsa dari lebih 150 negara, termasuk ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), adalah selaras dengan dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi Malaysia.
“Mereka datang ke Malaysia kerana yakin dengan sistem pendidikan kita yang berkualiti dan kompetitif.
“Sesetengah daripada mereka memilih Malaysia berbanding negara Barat atas faktor geopolitik dan peluang kemasukan,” jelas beliau.
Zambry turut menyuarakan kebimbangan dakwaan tidak berasas seperti ini hanya mencetuskan keresahan awam dan mewujudkan polemik politik yang tidak bermanfaat.
Beliau menyeru mana-mana pihak termasuk ahli Parlimen yang mempunyai persoalan berkaitan isu ini untuk memilih jalan perbincangan dan dialog, bukannya memperbesarkan isu di Dewan Rakyat.
“Saya tidak mahu sebarang tuduhan dibuat secara terbuka sehingga menimbulkan kekeliruan dan kegusaran di kalangan rakyat.
“Kita perlu bertindak secara bijaksana dan rasional demi kepentingan negara,” tegasnya.






