
PUTRAJAYA: Sempena ulang tahun ke-55 pengisytiharan Rukun Negara, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melancarkan Kempen Taat Setia Rukun Negara yang merupakan inisiatif nasional untuk menghidupkan semula semangat perpaduan dan kesetiaan rakyat Malaysia terhadap prinsip asas pembentukan negara.
Kempen ini bukan sekadar simbolik, tetapi satu seruan kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya generasi muda, agar terus berpegang teguh kepada lima prinsip Rukun Negara yang menjadi tiang seri kestabilan dan keharmonian negara.
“Rukun Negara adalah asas kepada perpaduan nasional. Ia mencerminkan komitmen kita untuk membina masyarakat yang adil, bersatu dan progresif,” kata Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Rakyat Malaysia, di dalam mahupun luar negara, digalakkan menyertai kempen ini dengan memuat naik video atau gambar bertemakan Rukun Negara sepanjang bulan Ogos hingga 16 September 2025, menggunakan tanda pagar #TaatSetiaRukunNegara dan #55TahunRukunNegara
Langkah ini diharap dapat menyemarakkan kesedaran awam tentang pentingnya kesetiaan kepada negara dan perlembagaan, dalam era digital yang pantas berubah.
Kempen ini merupakan sebahagian daripada 11 program utama KPN sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025, antaranya:
Konvensyen Sekretariat Rukun Negara
Sambutan Anak Merdeka 31 Ogos
Program Malaysiaku Merdeka
Jejak Merdeka Gen Z
Pertandingan Pidato Rukun Negara
Kembara Harmoni Merdeka
“Melalui kempen ini, kita mahu semarakkan semula penghayatan rakyat terhadap Rukun Negara sebagai landasan membentuk masyarakat MADANI yang inklusif, progresif dan berintegriti,” kata Aaron.
Kempen Taat Setia ini menjadi pemangkin untuk menyemai kembali semangat kenegaraan, memperkukuh identiti kebangsaan, dan meneguhkan semula prinsip asas yang menyatukan lebih 33 juta rakyat Malaysia.
Dengan penyertaan seluruh rakyat, KPN yakin mesej ‘Perpaduan Melalui Rukun Negara’ mampu bergema lebih kuat dari segenap sudut.





