
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberitahu kerajaan komited melahirkan generasi baharu yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan teknikal, malah kukuh akidah serta berpaksikan nilai-nilai al-Quran.
Katanya, pembangunan negara tidak seharusnya tertumpu hanya kepada aspek fizikal dan teknologi, sebaliknya memerlukan pembinaan insan yang seimbang dari sudut rohani dan intelektual.
“Saya percaya perubahan besar tidak berlaku hanya dengan niat yang baik. Ia menuntut sistem yang terancang, strategi yang realistik dan iltizam dari hati yang ikhlas.
“Benar, dalam membina masa depan negara, kita perlukan pembangunan fizikal, teknologi dan infrastruktur yang kukuh.
“Namun, perkara paling utama adalah semua pihak perlu membina insan yang seimbang, berakar pada nilai dan teguh akidahnya,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian World Quran Symposium 2025, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, ketika ini kerajaan telah menggerakkan agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Huffaz dengan menyatukan dua kekuatan besar iaitu hafazan al-Quran dan latihan teknikal.
“Kita mahu anak-anak tahfiz keluar dari madrasah dengan kemahiran di tangan dan kalam Ilahi terpahat di dada,” katanya.






