KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa berjaga-jaga sekiranya peralatan di bawah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) seperti sistem pagar automatik tergendala.
Timbalannya, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata prosedur operasi standard (SOP) dan langkah-langkah perlindungan telah, sedang dan akan dilakukan setiap agensi jika berlakunya perkara seumpama itu.
“Kita juga tekankan soal keperluan setiap agensi, pelan kesinambungan perkhidmatan untuk pastikan urusan perkhidmatan kita tidak tergendala dan terjejas,” katanya sewaktu pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) mengenai tindakan AKPS sekiranya berlakunya ‘blackout’ atau tergendala dari segi peralatan dan maklum balas pantas yang boleh dilaksana KDN.
Tambah beliau, antara langkah dilaksanakan Jabatan Imigresen dan AKPS seperti memaksimumkan kekuatan pegawai di semua kaunter manual bagi membuat pemeriksaan dokumen sekiranya sistem tergendala.
“Kita juga akan mewujudkan laluan kontra dan menyelaras pengurusan laluan keluar masuk dengan kerjasama pihak pengurusan kompleks pintu masuk. Ini antara langkah-langkah yang kita lakukan.
“Secara keseluruhan, kalau kita lihat perancangan jangka panjang, SOP dan pelan kesinambungan perkhidmatan berkesan, KDN percaya keselamatan keseluruhan data, sistem serta pencapaian perkhidmatan kita pada rakyat sentiasa berada dalam keadaan baik, terpelihara dan terkawal sehingga kini,” katanya.
