KUALA LUMPUR: Seramai 168,967 pemegang akaun skim ‘Beli Sekarang Bayar Kemudian’ (BNPL) atau 2.6 peratus daripada keseluruhan 6.5 juta pengguna direkodkan mempunyai baki tertunggak setakat 30 Jun 2025.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, jumlah baki pinjaman BNPL pada tempoh sama mencatatkan sebanyak RM3.8 billion meliputi 0.2 peratus daripada jumlah keseluruhan keberhutangan isi rumah di Malaysia.
“Namun demikian, jumlah BNPL yang tidak berbayar atau tertunggak (overdue) adalah terkawal iaitu sebanyak RM121.8 juta atau 3.2 peratus daripada baki keseluruhan pinjaman BNPL,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman mengenai kedudukan terkini hutang BNPL dalam negara dan usaha kerajaan mengawal risiko keberhutangan berlebihan kepada segmen belia di bawah usia 30 tahun.
Menurut Hui Ying, bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, bilangan transaksi BNPL mencapai 102.6 juta dengan jumlah sebanyak RM9.3 bilion.
Katanya, ia menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 31 peratus berbanding dengan jumlah sebanyak RM7.1 bilion bagi enam bulan kedua tahun 2024.
