PUTRAJAYA: Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menaikkan kadar cukai tembakau, sejajar dengan usaha memperkukuh kesihatan awam dan mengurangkan tabiat merokok dalam kalangan rakyat Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata cadangan itu relevan memandangkan tiada semakan semula kadar cukai tembakau sejak 2014, selain menyokong semangat kempen anti merokok.
“Saya setuju dengan semangat (cadangan ini). Bukan sahaja kerana saya tidak merokok, tetapi juga kerana adanya kempen anti merokok,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Libat Urus Belanjawan 2026 di Kementerian Kewangan hari ini.
Setakat ini, kadar cukai tembakau di Malaysia adalah 58.6 peratus daripada harga runcit, dan tiada mekanisme tetap untuk pelarasan atau semakan semula secara berkala.
Terdapat cadangan agar cukai dinaikkan kepada antara 60 peratus hingga 75 peratus, bagi mengekang penggunaan produk tembakau serta meningkatkan hasil negara.
Anwar sebelum ini, ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), mengumumkan kerajaan akan memperluaskan cukai berasaskan kesihatan bukan sahaja kepada produk bergula, tetapi juga tembakau, vape dan alkohol.
“Cukai bukan semata-mata untuk hasil, tetapi juga untuk ubah tingkah laku dan bendung penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti serangan jantung, angin ahmar, diabetes dan kanser,” katanya.
Belanjawan 2026 dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 Oktober 2025, menyaksikan langkah berkaitan cukai tembakau dijangka menjadi antara fokus utama dalam usaha menyeimbangkan pertumbuhan ekonomi dengan kesejahteraan kesihatan rakyat.
