GEORGETOWN: Seorang pelajar kolej yang mencampakkan bayi yang baru dilahirkannya dari tingkap apartment tingkat 13 lima tahun lalu didenda RM10,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini, yang memutuskan untuk tidak mengenakan hukuman penjara terhadap tertuduh.
Hakim Rofiah Mohamad ketika menjatuhkan hukuman berkata, mahkamah mengambil kira beberapa faktor, termasuk tempoh tahanan M Santhiea selama lebih tiga bulan pada tahun 2020 dan 2021, keadaannya yang tidak stabil secara emosi semasa prosiding, serta diagnosis gangguan kemurungan teruk selepas melahirkan anak.
“Laporan menunjukkan tertuduh amat menyesal, menanggung rasa malu, dan masih berisiko untuk mencederakan diri sendiri,” katanya.
Menurut beliau, hukuman penjara berkemungkinan besar akan memburukkan lagi keadaan mental tertuduh, berdasarkan laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang memberi amaran bahawa Santhiea berisiko tinggi untuk mencederakan atau membunuh diri.
“Mahkamah berpendapat pendekatan pemulihan lebih sesuai berbanding hukuman punitif,” katanya.
Santhiea, kini berusia 23 tahun, ketika kejadian berusia 18 tahun dan merupakan pelajar kolej.
Dia mencampakkan bayinya dari flat di Bandar Baru Air Itam pada tahun 2020, tidak lama selepas bersalin.
Pada awalnya, Santhiea didakwa bagi tuduhan membunuh, namun pertuduhan itu kemudian ditukar kepada tuduhan pilihan iaitu menyebabkan kematian bayi sendiri (infantisid), di bawah Seksyen 309A Kanun Keseksaan.
Seksyen itu digubal khusus bagi kes ibu yang mengalami gangguan mental selepas bersalin.
Tertuduh ditahan beberapa bulan selepas kejadian sebelum dibebaskan dengan jaminan, dan kemudian mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan.
Laporan kebajikan juga mendedahkan Santhiea cuba membunuh diri selepas kejadian dan telah mula menjalani rawatan dengan ubat antidepresan.
Mahkamah turut menggesa tertuduh menggunakan peluang kedua yang diberikan untuk menebus kesilapan dengan berbakti kepada keluarga dan negara.
Denda RM10,000 yang dikenakan dibayar oleh keluarganya.
