
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa ahli perniagaan terkenal, Rita Sosilawati tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan satu taktik penipuan baharu melibatkan bungkusan mencurigakan yang disyaki mengandungi ganja dihantar ke kediaman keluarganya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata pihaknya masih belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung insiden tersebut setakat ini.
“Kita minta individu terbabit untuk segera tampil membuat laporan polis supaya siasatan lanjut dapat dijalankan,” katanya dalam satu sidang media sempena kejayaan Op Khas Kad ATM di Menara KPJ, hari ini.
Pada Rabu lalu, Rita Sosilawati, atau nama penuhnya Erni Dekritawati Yuliana memuat naik satu hantaran di akaun media sosial Threads miliknya, mendakwa keluarganya menjadi mangsa penipuan apabila adiknya menerima satu bungkusan mencurigakan yang dihantar ke kediamannya.
Menurutnya, bungkusan berkenaan dikatakan mengandungi ganja seberat tujuh gram dan dialamatkan kepada individu yang tidak dikenali.
“Scam terbaru. Alamat rumah pun dah tak selamat. Semalam pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) datang rumah adik.
“Mereka kesan bungkusan dari Thailand yang mengandungi ganja,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Rita juga mendakwa laporan polis telah dibuat, namun pihak PDRM menyatakan belum menerima sebarang rekod laporan rasmi daripada pihak terbabit sehingga kini.
Datuk Rusdi turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya menerima bungkusan mencurigakan, lebih-lebih lagi yang melibatkan nama dan alamat mereka tanpa pengetahuan.
PDRM memandang serius sebarang cubaan penyalahgunaan maklumat peribadi dalam kegiatan jenayah termasuk sindiket penghantaran bahan terlarang menggunakan taktik penipuan penghantaran bungkusan.







