
SEREMBAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan menyita 10 kenderaan mewah kerana cukai jalan dan insurans yang tidak diperbaharui sejak Januari hingga awal Ogos ini.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusof berkata, antara kenderaan terbabit termasuk model mewah seperti Porsche Taycan, Toyota Alphard dan Mini Cooper Countryman, yang didapati tidak memiliki Lesen Kenderaan Motor (LKM) sah untuk tempoh sehingga hampir dua tahun.
“Pemilik memberi alasan terlupa untuk memperbaharui LKM, tetapi alasan sebegini tidak boleh diterima.
“Semua kenderaan itu dihantar ke depot simpanan JPJ untuk siasatan lanjut mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan peraturan berkaitan,” katanya dalam satu sidang media hari ini.
Beliau menjelaskan tindakan sitaan dijalankan mengikut Seksyen 23(1), Seksyen 26(1) dan Seksyen 90(1) Akta berkenaan.
Menurut Hanif Yusabra, memandu tanpa LKM dan perlindungan insurans bukan sahaja melanggar undang-undang, malah menimbulkan risiko serius terhadap keselamatan awam.
“Tanpa insurans yang sah, sebarang kemalangan bukan sahaja tidak dilindungi, malah boleh membawa kepada masalah besar dari sudut pampasan serta tanggungan kos kemalangan.
“Jika kita mampu memiliki kenderaan mewah, tanggungjawab terhadap insurans dan LKM juga tidak boleh diabaikan,” tegas beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mendedahkan sepanjang tempoh Januari hingga Julai 2025, JPJ Negeri Sembilan mengesan 10,435 kesalahan berkaitan LKM dan 7,891 kes kenderaan tanpa insurans menerusi tindakan penguatkuasaan yang dijalankan.
JPJ menyeru semua pemilik kenderaan sentiasa memastikan cukai jalan dan perlindungan insurans mereka berada dalam keadaan aktif dan sah bagi mengelakkan tindakan undang-undang serta risiko terhadap keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.







