
KUALA LUMPUR: Kesemua sembilan kapal misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens To Gaza (FFC x TTMG) telah dirampas secara haram oleh Israel termasuk yang membawa sembilan sukarelawan Malaysia, pada 10.50 pagi waktu Malaysia.
Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Datuk Seri Prof Dr Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, pihaknya mula terputus hubungan komunikasi dengan sukarelawan misi kemanusiaan pada 10.03 pagi.
“Kapal pertama Sun Bird di bawah TTMG telah ditangkap dalam lingkungan titik 120 batu nautika diikuti lapan kapal lain termasuk Conscience dan kapal terakhir yang dipintas ialah Umm Samad,” katanya pada sidang media di ibu pejabat MyCARE di sini hari ini.
Beliau berkata, rakyat Malaysia di atas kapal Conscience ialah Ketua Delegasi Malaysia Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin, Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi.
Turut berada di atas kapal sama, Prof Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani Syafik Shukri Abdul Jalil manakala seorang lagi doktor perubatan iaitu Dr Maziah Muhammad berada di atas kapal Umm Samad.
Dr Kamal Nasharuddin berkata, kesemua ahli keluarga sukarelawan Malaysia telah dimaklumkan mengenai situasi berkenaan.
Pihaknya akan berusaha sebaik mungkin menyediakan kemudahan kepada ahli keluarga yang hadir mengikuti perkembangan terkini di ibu pejabat MyCARE.