PUTRAJAYA: Pelakon dan pelawak, Shuib didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret ekoran mempromosikan produk tembakau, dua tahun lalu.
Shuib atau nama penuh Shahmira Muhamad, 42, selaku orang kena saman (OKS) mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Ezrene Zakariah.
Mahkamah memerintahkan OKS dipenjara selama setahun sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mempromosikan produk merokok yang melanggar Seksyen 9(1) iaitu mengambil bahagian dalam apa-apa perkiraan yang mempromosikan produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau.
Kesalahan didakwa dilakukan melalui sebuah pod cast pada 22 Oktober 2024 yang telah dibaca oleh pihak Sektor Inspektorat dan Perundangan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan Malaysia.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 9(3) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, boleh di hukum di bawah Seksyen 9(3)(a)(i) akta yang sama.
Jika disabitkan bagi kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan maksimum satu tahun atau kedua-duanya.
