JOHANNESBURG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kerajaan tidak akan menyembunyikan sebarang maklumat dalam siasatan berkaitan kontroversi melibatkan tujuh pemain warisan yang membawa kepada tindakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Beliau yang mengulas isu itu buat pertama kali menyifatkan skandal berkenaan sebagai satu ‘isu besar’.
“Kami (Jemaah Menteri) membincangkan perkara ini dan menegaskan tiada apa yang akan disembunyikan, teruskan siasatan. Itu pendirian kami,” katanya kepada pemberita di sini.
Anwar turut menegaskan kerajaan tidak mempertikai kredibiliti FIFA, tetapi pihak berkuasa tempatan tidak akan bertindak semata-mata berdasarkan dapatan FIFA.
Beliau juga bersetuju dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang sebelum ini menyatakan FAM mempunyai hak untuk merayu terhadap tindakan FIFA di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas rayuan sebelum ini ditolak pada 3 November.
“Terpulang kepada FAM untuk merayu dan mereka mempunyai peguam sendiri yang boleh memberi nasihat guaman,” kata Anwar.
Perdana Menteri memahami kemarahan rakyat terhadap skandal itu dan menyedari tuntutan orang ramai supaya tindakan segera diambil.
Beliau turut membandingkan isu ini dengan dakwaan skandal perlombongan di Sabah, yang turut mendapat perhatian awam akibat penyebaran beberapa video yang melibatkan wakil rakyat.
“Sebagai perdana menteri, paling banyak yang boleh saya lakukan ialah mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan peguam negara untuk mengambil tindakan.
“Kita perlu memastikan kes itu kukuh sebelum mendakwa pihak yang bertanggungjawab,” katanya.
FAM dan tujuh pemain warisan dikenakan penalti oleh FIFA selepas badan itu mendapati dokumen yang dikemukakan bagi membuktikan kelayakan pemain adalah palsu. Dokumen itu mendakwa datuk dan nenek tujuh pemain lahir di Malaysia, tetapi siasatan FIFA mendapati mereka sebenarnya dilahirkan di Sepanyol, Argentina, Brazil dan Belanda.
FAM didenda 350,000 franc Switzerland (RM1.8 juta), manakala setiap pemain dikenakan denda 2,000 franc Switzerland (RM10,560) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.
Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal, dan Hector Hevel.
