KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) giat mengesan Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, 44, bagi membantu siasatan berhubung projek Lebuhraya MEX 2.
Menurut SPRM, individu berkenaan yang beralamat terakhir di A16-2, Sunway Pallazio, Jalan Sri Hartamas 3, Sri Hartamas, 50480 Kuala Lumpur, diperlukan untuk membantu siasatan berkaitan projek Pembinaan Lebuhraya Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (MEX 2) yang bermula dari Persimpangan Putrajaya dan berakhir di KLIA.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Adam Radlan diminta menghubungi pegawai penyiasat, Penguasa Sharan Raj Govindasamy di talian 014-3560771 atau melalui emel sharanraj@sprm.gov.my,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, Adam Radlan turut disiasat dalam kes projek Jana Wibawa, namun mahkamah melepaskan dan membebaskannya daripada 12 pertuduhan rasuah serta pengubahan wang haram selepas beliau membayar kompaun berjumlah RM4.1 juta.
Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin, selepas dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh, bahawa SPRM bersetuju menawarkan kompaun tersebut berdasarkan representasi tertuduh.
Mengikut pertuduhan dalam kes Jana Wibawa, Adam Radlan didakwa meminta suapan antara 3.5 hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang akan diperoleh daripada Pengarah Urusan MIE Infrastructure & Energy Sdn. Bhd., Mat Jusoh Mamat.
Beliau juga dituduh menerima RM500,000 sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan surat sokongan bagi projek pembinaan jalan di Perlis bernilai RM47.8 juta secara rundingan terus.
Beliau berdepan tiga pertuduhan menerima suapan RM4.1 juta daripada Lian Tian Chuan dan Mat Jusoh sebagai dorongan membantu syarikat Nepturis Sdn. Bhd. serta MIE Infrastructure & Energy memperoleh dua projek Jana Wibawa, selain didakwa meminta RM2 juta secara rasuah daripada Tian Chuan bagi tujuan sama.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Beliau turut berdepan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM3 juta mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya antara Mac 2021 hingga Januari 2023.
