
KUALA LUMPUR: Para peminat sukan pickleball kini boleh melakukan aktiviti itu di Stadium Pickleball Kenanga Wholesale City (KWC) Fashion Mall Kuala Lumpur secara percuma.
Stadium yang terletak di bawah seliaan E-Motion Sdn. Bhd itu menawarkan latihan, penggunaan gelanggang dan alatan pickleball seperti padel dan bola kepada semua pelajar sekolah rendah kebangsaan di seluruh negara.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kemudahan stadium itu menambah lagi usaha kementerian untuk memperjuangkan agenda merakyatkan fasiliti sukan di seluruh negara.
Katanya, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk membenarkan Program Hari Sukan Sekolah di Stadium Negara Bukit Jalil secara percuma kepada sekolah-sekolah tertakluk kepada terma dan syarat.
“Inisiatif syarikat ini selari dan menyokong usaha Kementerian Belia dan Sukan dalam merancakkan pembudayaan sukan dan amalan gaya hidup cergas dalam kalangan masyarakat terutamanya di peringkat komuniti dan penduduk setempat.

“Pelaksanaan aktiviti sukan dan kecergasan seumpama ini turut bertepatan dengan matlamat Visi Sukan Negara 2030 iaitu untuk mencapai status Negara Bersukan (Sporting Nation) menjelang tahun 2030,” katanya Ketika menghadiri Majlis Perasmian Stadium Pickleball di KWC sempena Inisiatif CSR ‘Free Pickleball For School’, di sini hari ini.
Sementara itu, orang ramai boleh menggunakan stadium tersebut setiap hari bekerja bermula pukul 8 pagi sehingga 4 petang.