
KUALA LUMPUR : Kementerian Kewangan (MoF) menegaskan peningkatan peruntukan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dari tahun ke tahun mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial rakyat.
Menurut Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying, peruntukan untuk kedua-dua bantuan itu meningkat kepada RM15 bilion pada 2026, berbanding RM10 bilion pada 2024.
Langkah tersebut, jelasnya, merupakan antara strategi utama kerajaan bagi membasmi kemiskinan tegar serta membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana berdepan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Program ini juga adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk menyediakan bantuan secara bersasar,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN–Rantau Panjang) yang ingin mengetahui mengenai pendirian kerajaan berhubung keberkesanan pelaksanaan SARA dalam membantu golongan B40 dan isu laporan kelewatan bayaran yang diterima sebahagian penerima di luar bandar.
Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan bagi STR dan SARA dalam pembentangan Belanjawan 2026 akan meningkat kepada RM15 bilion, yang dijangka memberi manfaat kepada sembilan juta penerima.
Hui Ying berkata setakat ini, terdapat lebih 5.4 juta penerima SARA bulanan di bawah STR direkodkan dengan jumlah kelayakan tahunan sebanyak RM5 bilion.
“Sehingga 13 Oktober 2025, lebih 5.34 juta daripada keseluruhan penerima SARA telah menggunakan MyKad mereka untuk membeli barangan asas di premis berdaftar, mencerminkan kadar penggunaan sebanyak 98 peratus secara keseluruhan dengan nilai perbelanjaan sebanyak RM3.3 bilion,” katanya.
Berdasarkan prestasi pelaksanaan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi tahun 2025, kadar penggunaan tertinggi dicatatkan di negeri Perlis, Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu dan Kedah. Menurutnya, sebanyak 99 peratus penerima telah menggunakan MyKad mereka untuk membuat pembelian di kedai runcit berdaftar, sekali gus menepis dakwaan berlaku kelewatan pelaksanaan program itu di kawasan luar bandar.
Bagi memperluas capaian bantuan tersebut, setakat 13 Oktober lalu jumlah Rakan Niaga SARA telah meningkat kepada 8,400 kedai di seluruh negara, bagi memastikan lebih ramai penerima dapat menikmati kemudahan ini dengan lebih mudah dan menyeluruh.
“Ini termasuk pasar raya, kedai runcit, kedai koperasi dan pasar mini yang terletak di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman,” katanya.