
KUALA LUMPUR: Kes buli di sekolah menunjukkan peningkatan apabila sebanyak 7,681 kes direkodkan sepanjang 2024, berbanding 6,528 kes pada 2023 dan 3,883 kes pada 2022, menurut statistik Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited membanteras gejala buli melalui pelbagai pendekatan termasuk pindaan undang-undang, pengukuhan peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS), dan galakan pelaporan melalui saluran rasmi seperti Volunteer Smartphone Patrol (VSP).
“Mangsa buli bukan sahaja terkesan secara fizikal, tetapi turut mengalami trauma emosi dan mental yang boleh menjejaskan prestasi akademik mereka,” katanya semasa merasmikan Program Kempen Antibuli, hari ini.
Beliau turut mendedahkan 129 kes buli dilaporkan kepada polis sejak penguatkuasaan Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025, yang digubal bagi menangani jenayah buli secara lebih menyeluruh.
PDRM turut menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, guru dan masyarakat peka terhadap tanda-tanda buli serta menyemai nilai empati, belas kasihan dan keadilan dalam kalangan generasi muda.
Sebagai langkah pencegahan, katanya, peranan Pegawai Perhubungan Sekolah akan diperkukuh melalui sesi dialog, kempen kesedaran dan penglibatan komuniti sekolah.
“Murid-murid digalakkan melaporkan sebarang kejadian buli tanpa rasa takut melalui guru, ibu bapa atau saluran rasmi seperti VSP. PDRM sentiasa bersedia memberi perlindungan dan bantuan,” jelas beliau.
Beliau turut menasihati ibu bapa supaya peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak, manakala guru pula disaran mewujudkan suasana pembelajaran yang selamat dan mengambil tindakan segera terhadap tanda-tanda buli.
“PDRM berharap kempen ini dapat mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat dan bebas buli, sekali gus melahirkan pelajar yang berakhlak mulia dan berdisiplin tinggi,” tambahnya.





