
KUALA LUMPUR: Polis tidak menolak kemungkinan pelajar perempuan yang maut akibat ditikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama pagi tadi mengenali suspek, memandangkan kedua-duanya bersekolah di institusi yang sama.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur buli terlibat dalam insiden tragis itu.
“Sudah tentu kita percaya mereka saling mengenali walaupun berada di tingkatan berbeza. Mereka mungkin tidak berkawan, tetapi adalah pelajar di sekolah yang sama.
“Setakat ini, tiada unsur buli dikesan. Jika terdapat perkembangan baharu, kita akan maklumkan. Siasatan masih berjalan dan terlalu awal untuk menentukan punca sebenar kejadian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Menurut Shamsudin, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun ditahan untuk membantu siasatan dan keterangannya akan diambil dalam masa terdekat.
Tambah beliau, pasukan penyiasat kini masih berada di lokasi dan dalam proses mengambil keterangan daripada beberapa individu, termasuk rakan-rakan mangsa, suspek serta guru-guru.
Sebelum ini, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun dilaporkan maut selepas disyaki ditikam oleh seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail mengesahkan penahanan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun susulan kejadian tersebut.
Polis turut merampas dua senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam serangan itu. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.






