Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenalkan mata pelajaran baharu, Alam dan Manusia: Pembelajaran Bersepadu pada Tahap 1 dalam Kurikulum Persekolahan 2027.
KPM dalam satu kenyataan berkata pengenalan mata pelajaran itu bertujuan memperkukuh kemahiran asas serta pembentukan karakter murid pada peringkat awal persekolahan.
Kenyataan itu turut mengatakan subjek berkenaan menggabungkan pelbagai disiplin ilmu termasuk sains, pendidikan kesihatan, muzik dan seni visual.
“Mata pelajaran baharu itu turut menggabungkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta digital bagi memberi pengalaman pembelajaran lebih menyeluruh kepada murid.
“Subjek ini akan menggantikan subjek Sains, Pendidikan Kesihatan, Pendidikan Seni Visual dan Pendidikan Muzik dalam kurikulum sedia ada,” menurut kenyataan itu.
KPM tuut memaklumkan, pengajaran ini bakal dilaksanakan melalui kaedah pengajaran berpasukan atau ‘co-teaching’ bersama dua guru dalam satu kelas.
“Usaha berkenaan akan menyokong pendekatan pelbagai disiplin ilmu, yang mana guru saling melengkapi dalam menyampaikan isi pelajaran dan memenuhi keperluan pembelajaran murid.
“Pada Tahap 1, tumpuan utama diberi kepada penguasaan literasi, membaca, menulis, dan mengira (3M) serta pembentukan karakter.
“Oleh itu, jumlah mata pelajaran diminimumkan bagi membolehkan murid menguasai kemahiran asas dengan lebih berkesan,” katanya.
Semalam Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengumumkan kaedah pengajaran berpasukan bersama dua guru dalam satu kelas adalah antara pendekatan baharu bakal dilaksanakan dalam Kurikulum Persekolahan 2027, bagi menekankan keseimbangan antara pencapaian akademik dan pembentukan karakter pelajar.
