
KUALA LUMPUR: Pemandu pikap Nissan Navara yang merempuh pasangan suami isteri menunggang motosikal di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Sabtu lalu disahkan bukan pemilik kenderaan terbabit.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, dalam satu kenyataan hari ini.
“Pemandu kenderaan dalam kejadian itu bukan pemilik kenderaan terbabit,” katanya.
Zamzuri berkata, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat, selepas proses sambung reman suspek dijalankan hari ini.
“Hari ini dalam proses sambung reman dan seberapa segera akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut,” katanya.
Tular sebelum ini dakwaan pikap itu berlumba sebelum melanggar motosikal mangsa.
Zamzuri berkata perkara itu masih dalam siasatan.
Mangsa wanita yang juga pembonceng motosikal masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Dalam nahas kira-kira pukul 2.30 petang itu, Nissan Navara tersebut dirakam merempuh motosikal jenis Benelli TRK 502 yang ditunggang pasangan terbabit dari arah kanan, menyebabkan mereka tercampak ke bahu jalan.
Mangsa lelaki berusia 53 tahun retak tulang selangka dan luka di kaki manakala isterinya, 49, mengalami pendarahan di kepala, patah tulang rusuk kanan serta buku lali.
Zamzuri memaklumkan pemandu pikap tampil membuat laporan pukul 6.55 petang pada hari sama, sebelum ditahan dan direman dua hari untuk siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, pemilik sebenar kenderaan turut tampil menjelaskan menerusi satu video bahawa dia bukan individu yang memandu pikap berkenaan semasa kejadian, sebaliknya ia dipandu adiknya.
Dia juga memohon orang ramai berhenti menyebarkan butiran peribadinya dalam media sosial sejak insiden berkenaan tular.
Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Farhad Kamaruddin di talian 011-31903054 untuk membantu siasatan.





