KUALA LUMPUR: Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mengesahkan ketibaan kenderaan utiliti sukan kompak terbaharu, Mitsubishi Xforce untuk pasaran tempatan.
Tempahan rasmi model terbaharu dengan tagline Exceed Xpectations akan dibuka pada awal Februari nanti.
Dalam kenyataan MMM, Mitsubishi Xforce direka untuk menawarkan nilai pintar dan praktikal yang dipadankan dengan keperluan pemandu masa kini.
“Ia memberi penekanan dalam aspek pengendalian unggul, reka bentuk bergaya, keselesaan dan kecekapan bahan api.
“Xforce memberikan keyakinan dan kemudahan dalam pemanduan harian sekali gua menjadikannya pilihan menarik untuk gaya hidup moden,” kata kenyataan itu.
Tambahnya lagi, SUV serba baharu itu juga telah menerima pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi Anugerah iF DESIGN AWARD 2024 dalam kategori Reka Bentuk Produk.
Katanya, pengiktirafan tersebut menyerlahkan gaya tersendiri serta daya tarikan kontemporari model itu di peringkat global.
Menjelang pembukaan tempahan rasmi pada awal Februari, MMM telah membuka pendaftaran bagi Mitsubishi Xforce membolehkan pelanggan menjadi antara yang terawal menerima maklumat terkini serta pratonton eksklusif.
