KUALA LUMPUR: Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. bersama Yayasan Imanulfa’izin (YIF) komited memperkukuh integriti, ketelusan dan tadbir urus bebas rasuah dalam semua urusan syarikat, khususnya berkaitan pengendalian jemaah umrah.
Pengarah merangkap Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris, berkata pendirian itu dizahirkan melalui Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dan pelancaran Polisi Integriti syarikat bagi memastikan setiap urusan bersama jemaah serta pihak ketiga mematuhi prinsip amanah dan bebas salah laku.
“Ikrar ini menegaskan komitmen Andalusia untuk menolak sebarang bentuk rasuah dan mengutamakan amanah serta integriti dalam setiap urusan, termasuk membabitkan pembekal, hotel dan penyedia perkhidmatan.

Nilai amanah ialah teras operasi syarikat selaras kepercayaan besar yang diberikan jemaah,” katanya selepas majlis berkenaan di Auditorium Andalusia, hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YIF, Fawaz Abdul Hamid Dahlan, manakala lafaz IBR disaksikan Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Samsul Salip.
Ida Riswana berkata, komitmen terhadap integriti bukan semata-mata usaha penjenamaan, sebaliknya jaminan bahawa semua perkhidmatan syarikat mematuhi prinsip ketelusan tanpa kompromi.

Beliau menegaskan meskipun industri umrah berdepan cabaran termasuk aspek kewangan, Andalusia kekal tegas dalam memelihara integriti.
“Andalusia akan menyemak dan memperkukuh polisi sedia ada melibatkan kakitangan, pelanggan serta rakan niaga. Proses dan standard integriti baharu akan diperkenalkan bagi memastikan perkhidmatan diberikan secara profesional dan beramanah,” jelasnya.
Beliau yakin pematuhan menyeluruh terhadap prinsip integriti akan meningkatkan mutu perkhidmatan dan keyakinan jemaah terhadap agensi berkenaan.
