KUALA LUMPUR: Penyanyi kontroversi, Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee akan terus ditahan reman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan pempengaruh media sosial Taiwan, Hsieh Yu-hsin.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam, mengesahkan tempoh reman terhadap artis berusia 42 tahun itu dilanjutkan sehingga 13 November bagi melengkapkan siasatan.
Wee pada asalnya dijangka dibebaskan hari ini selepas menyerah diri kepada pihak polis pada 5 November, namun penahanan diteruskan susulan perkembangan terbaharu dalam siasatan.
Yu-hsin dilaporkan bertemu dengan Namewee di sebuah hotel di ibu negara untuk membincangkan rakaman video bersama, namun penyanyi itu mendakwa menemui wanita berkenaan sudah tidak bernyawa dalam tab mandi.
Dia sebelum ini ditahan pada 22 Oktober di hotel sama selepas pihak berkuasa menemui sembilan pil biru disyaki ekstasi di biliknya.
Hasil ujian air kencing menunjukkan dia positif amphetamine, methamphetamine, ketamin dan THC.
Artis tersebut didakwa bagi pertuduhan memiliki dan mengambil dadah, namun mengaku tidak bersalah di mahkamah.
Dia dibenarkan ikat jamin RM4,000 bagi setiap pertuduhan sementara menunggu perbicaraan.
Polis memaklumkan kematian Yu-hsin pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun siasatan lanjut mendapati terdapat unsur mencurigakan dan kes itu kini disiasat sebagai pembunuhan.
