
KOTA BHARU: Kadar tambang bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan diumumkan lebih awal sebelum perkhidmatan itu mula beroperasi yang dijangka pada Januari tahun depan namun tertakluk kepada kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, penetapan harga tiket perlu melalui proses kelulusan agensi berkenaan sebelum dapat diumumkan kepada orang ramai.
“Tambang ECRL sudah tentu akan diumumkan sebelum tarikh pengoperasian. Bagaimanapun, ia perlu mendapat kelulusan APAD terlebih dahulu.
“Ketika ini, keutamaan kita adalah memastikan kerja pembinaan dan pemasangan ECRL berjalan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Lawatan ECRL Feeder Station 1 dan Stesen ECRL Kota Bharu di Tunjong, di sini, hari ini.
Anthony berkata, pihaknya akan melaksanakan ujian pentauliahan secara menyeluruh sebelum ECRL memulakan operasi bagi memastikan sistem pengangkutan itu berfungsi dengan baik dan selamat.
“Ujian ini penting bagi memastikan ECRL dapat beroperasi dengan sempurna sebelum ia dibuka sepenuhnya kepada orang ramai seawal Januari tahun depan.
“Kita berharap semua pihak memahami keadaan ini dan kementerian akan terus mengemas kini perkembangan ECRL dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau memaklumkan ECRL dijadual menerima 11 set tren dengan setiap satu set terdiri daripada enam gerabak yang dijangka tiba di Kuantan, Pahang dalam tempoh dua minggu lagi.
Ketika ditanya mengenai titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang mahu projek ECRL disambung sehingga ke Rantau Panjang, Loke berkata perkara tersebut masih belum dibincangkan setakat ini.





