PETALING JAYA: Kerajaan mempergiat usaha menarik rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara untuk pulang berkhidmat dengan menawarkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta gaji setanding diterima di negara berkenaan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, langkah itu merupakan antara strategi utama kerajaan bagi membangunkan industri bernilai tinggi sekali gus meningkatkan daya saing negara di peringkat antarabangsa.
Katanya, isu dibangkitkan bukan berkaitan gaji minimum sebaliknya melibatkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang memerlukan latihan khusus.
“Kos sara hidup di luar negara adalah lebih tinggi, justeru gaji yang diterima juga lebih besar. Namun, kerajaan sedang mengambil beberapa langkah untuk melatih serta membawa pulang bakat-bakat ini ke Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat Ibu Pejabat Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah TalentCorp, Wong Shu Qi berkata, pihaknya memainkan peranan memastikan graduan serta tenaga kerja berkemahiran tinggi yang kembali ke tanah air diberikan latihan bersesuaian sebelum diserap oleh syarikat tempatan dan antarabangsa.
“Kami tidak memaksa bakat Malaysia di luar negara untuk pulang tetapi menyediakan insentif menarik termasuk tawaran gaji kompetitif agar mereka melihat peluang kerjaya di dalam negara,” katanya.
Beliau berkata, usaha meningkatkan produktiviti serta mempermudah urusan pelaburan melalui penambahbaikan ekosistem perniagaan dijangka menarik lebih ramai pelabur asing dan tempatan sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi.
Shu Qi menegaskan, kepentingan menyediakan peluang kepada bakat kritikal khususnya dalam sektor teknologi, digital dan industri berkemahiran tinggi bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing berbanding negara jiran seperti Singapura dan Thailand.
“Peluang pekerjaan bukan hanya ditentukan oleh gaji semata-mata tetapi turut melibatkan pembangunan kerjaya, peluang untuk bersama keluarga serta pemanfaatan pengalaman dan kemahiran yang diperoleh,” katanya.
