Tawau : Ketua Polis Negara, Seri Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan yang menggesa anggotanya mengundi Kerajaan Madani pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Beliau menekankan setiap pegawai dan anggota PDRM mempunyai kebebasan penuh untuk menentukan pilihan masing-masing ketika mengundi, selaras dengan hak individu serta prinsip profesionalisme pasukan keselamatan itu.
“Tidak… (tiada arahan) kita percaya bahawa kestabilan itu penting, yang saya kaitkan (dalam ucapan) adalah antara kestabilan politik dengan ekonomi.
“Jadi terpulanglah kepada pegawai dan anggota untuk mereka pilih dan saya percaya mereka begitu bijak untuk memastikan hak mereka mengundi, bukannya arahan daripada saya atau pihak-pihak tertentu.
“Kebebasan itu adalah hak masing-masing (hak mengundi),” katanya selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Khas Ketua Polis Negara bersama petugas PDRM sempena PRN17 di Dewan Sri Tawau, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Khalid turut memaklumkan PDRM berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi bagi memastikan kelancaran keseluruhan operasi keselamatan sepanjang PRN, termasuk di kawasan Pantai Timur Sabah yang setakat ini kekal tanpa sebarang ancaman besar.
“Seramai 9,200 pegawai dan anggota ditugaskan di seluruh negeri, termasuk bantuan daripada kontinjen lain dari Semenanjung.
“Kira-kira 15 kawasan panas dikenal pasti berdasarkan PRN lalu, namun keadaannya dapat dikawal melalui penugasan semua jabatan terbabit termasuk Cawangan Khas, Bahagian Siasatan Jenayah (CID) dan Narkotik, selain mengenal pasti individu yang boleh menimbulkan suasana tidak baik,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau menafikan dakwaan kemungkinan wujudnya ‘pengundi hantu’ ekoran kemasukan rakyat asing dan tidak menerima laporan diterima berhubung perkara itu.
