
PUTRAJAYA: Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga barangan secara tidak munasabah dengan menjadikan konflik di Asia Barat sebagai alasan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang melanggar peraturan, selain menegaskan kepentingan rakyat kekal menjadi keutamaan kerajaan.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kerajaan memahami tekanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat ketika ini dan sentiasa peka terhadap keperluan semasa.
“Kerajaan memastikan setiap langkah yang diambil bertujuan untuk terus membela kehidupan rakyat tanpa membebankan mereka,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Sara Hidup Negara (NACCOL), di sini hari ini.
Menurut beliau, mesyuarat jawatankuasa tersebut akan diadakan secara berkala sepanjang tempoh krisis tenaga bagi memastikan setiap isu yang memberi kesan kepada rakyat dapat ditangani dengan segera dan berkesan.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan sebarang kenaikan kos atau gangguan bekalan dapat dikawal tanpa menjejaskan kesejahteraan rakyat.
Ahmad Zahid memaklumkan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM54.7 bilion tahun ini bagi bantuan sosial, subsidi serta insentif peningkatan pendapatan.
Beliau berkata, antara inisiatif utama yang dilaksanakan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Program Jualan Rahmah serta subsidi bahan api dan sektor pertanian.
“Inisiatif ini memberi manfaat secara langsung kepada rakyat dan membantu mengurangkan beban perbelanjaan harian mereka,” katanya.
Jelasnua, mengambil kira perkembangan konflik di Asia Barat, jumlah peruntukan subsidi dijangka meningkat bagi memastikan kesan terhadap rakyat dapat diminimumkan.
Menurutnya, lebih 13.7 juta rakyat kini menerima manfaat daripada 60 program bantuan sosial di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, lebih separuh penerima mendapat sekurang-kurangnya dua bentuk bantuan, manakala hampir satu pertiga terdiri daripada isi rumah berpendapatan RM2,000 ke bawah.
“Ini membuktikan bantuan kerajaan benar-benar sampai kepada golongan sasar yang memerlukan,” katanya.
Ahmad Zahid turut menegaskan kerajaan akan terus memperkukuh sistem pengangkutan awam serta memperluas peluang ekonomi dan pekerjaan kepada rakyat.
Selain itu, penyampaian maklumat kepada rakyat juga akan dipertingkatkan agar lebih jelas, telus dan mudah difahami.
Katanya, rakyat berhak mendapatkan maklumat yang tepat bagi membantu mereka membuat keputusan terbaik dalam kehidupan seharian.
“Kerajaan akan terus berdiri bersama rakyat dalam apa jua keadaan. Segala dasar dan langkah yang dilaksanakan adalah bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara, khususnya dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa,” katanya.





