
PUTRAJAYA: “Kalau ketinggalan dalam pelajaran, jangan putus asa… ulang kaji berkali-kali dan terus berusaha,” demikian nasihat Tun Dr Mahathir Mohamad kepada golongan muda yang ingin berjaya dalam akademik dan kehidupan.
Berkongsi pengalaman zaman persekolahannya, bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau sentiasa berusaha untuk menjadi pelajar terbaik dalam kelas, bersaing rapat dengan seorang rakan sekelasnya.
Namun, semasa melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan, beliau mengakui berasa tercicir kerana pencapaiannya lebih rendah berbanding pelajar lain.
“Saya terpaksa kejar mereka. Untuk itu, saya perlu serius dalam pelajaran. Saya baca buku teks berulang kali.
“Bukan untuk hafal semua, tapi bila kita baca banyak kali, kita akan lebih faham,” katanya dalam program Podcast Dr M sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-100, hari ini.
Dr Mahathir berkata, pembacaan berulang kali memberi kelebihan kerana ia membantu membentuk gambaran jelas dalam fikiran, sekali gus memudahkan menjawab soalan peperiksaan.
Beliau turut berkongsi pandangan mengenai kemahiran dan ilmu pengetahuan boleh dikuasai dengan pengulangan.
“Macam bila kita selalu jumpa kawan, kita kenal wajah dia. Bukan sebab hafal, tapi sebab selalu nampak. Ilmu pun sama. Bila kita selalu baca, kita lebih mudah faham,” ujarnya.
Beliau turut membandingkan proses pembelajaran dengan seni ukiran kayu yang pernah diceburinya.
“Pada mulanya ukiran nampak hodoh. Tapi lama-kelamaan, dengan latihan dan kesabaran, ia jadi cantik,” katanya.
Dr Mahathir juga menekankan kepentingan membaca, bukan sahaja buku teks, tetapi juga bahan bacaan lain yang menarik minat.
“Kadang-kadang saya baca buku lain juga kalau saya rasa menarik. Saya baca lebih banyak,” katanya.
Beliau mengingatkan anak muda ulang kaji tidak boleh dibuat sekali sahaja, tetapi perlu dilakukan berulang kali untuk memastikan ilmu mudah diingati.
“Kalau kita hanya jumpa seseorang sekali, kita mungkin lupa wajahnya. Tapi kalau jumpa hari-hari, bunyi batuk dia pun kita boleh kenal,” katanya.