
PETALING JAYA: Lima individu, termasuk juruterbang, disahkan selamat selepas sebuah helikopter jenis AS355N milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlibat dalam insiden kemalangan berhampiran Sungai Pulai, Gelang Patah, Johor, pagi tadi.
Menurut kenyataan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), helikopter yang dikendalikan seorang juruterbang itu berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada pukul 9.51 pagi dengan membawa empat penumpang.
“Kesemua lima mangsa diselamatkan oleh Pasukan Polis Marin dan telah dibawa ke jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Johor,” kata CAAM.
Mangsa kemudiannya dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, bagi menjalani pemeriksaan dan menerima rawatan lanjut.
Sementara itu, CAAM memaklumkan siasatan terperinci mengenai insiden itu akan dijalankan oleh Biro Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan, selaras dengan Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.







