
KUALA LUMPUR: Langkah berani kerajaan Singapura menganjurkan sesi temuduga terbuka bagi pengambilan doktor berpengalaman di sebuah hotel di Kuala Lumpur bulan depan dijangka memburukkan lagi isu penghijrahan tenaga kerja dalam sektor kesihatan negara, kata Senator Dr RA Lingeshwaran.
Kata beliau, iklan terkini daripada Kementerian Kesihatan Singapura menawarkan pakej tahunan bernilai SGD110,000 (sekitar RM365,000), selain faedah seperti perumahan, insurans, elaun on-call dan pelbagai kemudahan lain.
“Gaji itu belum termasuk elaun penginapan bulanan serta manfaat tambahan lain. Doktor hanya perlu mempunyai pengalaman minimum tiga tahun bekerja di hospital atau klinik di Malaysia,” katanya seperti yang dilapor FMT.
Katanya, perubahan dasar Singapura kini membenarkan pemegang ijazah perubatan dari mana-mana universiti memohon tanpa perlu menduduki sebarang peperiksaan kelayakan.
“Sebelum ini, hanya graduan dari Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diterima masuk secara langsung. Kini semua layak memohon, dan ini tentunya akan menggalakkan lebih ramai doktor berhijrah,” katanya.
Menurut iklan tersebut, pemohon yang merupakan graduan UM dan UKM layak dipertimbangkan sebagai pegawai perubatan, manakala pemohon dari institusi lain akan ditawarkan jawatan sebagai ‘pembantu klinikal’ iaitu dengan tanggungjawab setara pegawai perubatan tetapi berstatus pendaftaran sementara.
Dr Lingeshwaran, yang juga bekas pengarah Hospital Sungai Bakap, menjelaskan, doktor Malaysia dengan pengalaman tiga tahun biasanya hanya menerima kira-kira RM6,000 sebulan, atau RM72,000 setahun, jauh lebih rendah berbanding tawaran Singapura.
Beliau menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia memandang serius perkara ini kerana ia akan memberi kesan besar terhadap sistem kesihatan awam yang kini sudah berdepan pelbagai tekanan.
“Saya dimaklumkan oleh dekan RCSI & UCD Malaysia Kampus di Pulau Pinang kira-kira 40 peratus daripada 105 graduan perubatan baru-baru ini memohon untuk menjalani latihan di Ireland atau UK.
“Mereka memilih untuk keluar kerana sistem kita tidak memberi jaminan dan hala tuju kerjaya yang jelas.
“Isu doktor kontrak, kekurangan jawatan tetap, peluang kenaikan pangkat yang terhad serta keseimbangan kerja dan kehidupan yang lemah mendorong penghijrahan ini,” ujarnya.
Pada Disember tahun lalu, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad mendedahkan bahawa seramai 6,417 pegawai perubatan tetap dan kontrak telah meletakkan jawatan dalam tempoh lima tahun dari 2019 hingga 2023.







