
KUALA LUMPUR: Pelantikan hakim mahkamah atasan di negara ini perlu ditangani dengan cermat dan secara sah supaya perjalanan kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong tidak dipolitikkan.
Istana Negara melalui satu kenyataan menegaskan, pelantikan hakim-hakim mahkamah atasan adalah urusan kenegaraan yang penting serta perlu ditangani secara cermat dan integriti selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Menurut kenyataan itu, hal pelantikan di bawah Perlembagaan Persekutuan hendaklah ditangani secara sah supaya perjalanan kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak.
“Mengikut Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, pelantikan hakim dibuat oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.
“Perkara ini secara jelasnya menzahirkan prinsip semak dan imbang dalam sistem kehakiman negara.
“Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695) adalah undang-undang yang memperuntukkan proses pemilihan calon hakim, namun kuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong adalah terletak kepada Perdana Menteri,” menurut Istana Negara di sini, hari ini.
Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 dilapor akan bersidang pada 15 hingga 17 Julai ini bagi membincangkan mengenai kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan, Jemaah Menteri memberi jaminan pengisian kekosongan jawatan akan dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.




