KUALA LUMPUR: Legasi kepimpinan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi atau lebih dikenali sebagai Pak Lah terus dikenang sebagai pelopor pembangunan modal insan dan pembina negara bangsa berasaskan nilai, ilmu dan akhlak.
Sehubungan itu, Majlis Amanah Rakyat (MARA) disaran melaksanakan pendekatan strategik bagi meneruskan legasi dan memartabatkan pemikiran Pak Lah dalam memperkukuh agenda pembangunan Melayu dan Bumiputera di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, MARA wajar membina generasi baharu Bumiputera yang bukan sahaja cemerlang dari segi kemahiran teknikal, tetapi turut memiliki jati diri kukuh serta nilai moral dan etika yang tinggi, selari dengan nilai kepimpinan yang dibawa oleh bekas Perdana Menteri Kelima itu.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mencadangkan MARA, melalui institusi seperti Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Institut Kemahiran MARA, Kolej Kemahiran Tinggi MARA dan GiatMARA, membangunkan satu modul khas bertajuk Kepimpinan Pak Lah bagi diterapkan kepada para pelajar.
“Modul ini boleh mengetengahkan nilai-nilai kesederhanaan, kebijaksanaan dan kepimpinan beretika yang menjadi teras pentadbiran Pak Lah,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang semasa merasmikan Simposium Pemikiran Tun Abdullah Ahmad Badawi di Hotel Premiera, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid turut menyentuh antara legasi besar peninggalan Allahyarham, iaitu pelancaran lima Koridor Ekonomi Wilayah yang membuka peluang pembangunan lebih seimbang ke seluruh negara, termasuk kawasan luar bandar.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan MARA memperluaskan akses pendidikan dan latihan dengan mewujudkan lebih banyak Pusat Latihan Bergerak di kawasan-kawasan koridor tersebut bagi menawarkan latihan teknikal dan digital kepada masyarakat pedalaman.
Justeru, MARA disaran memperkenalkan program khas Usahawan Islam Hadhari berasaskan prinsip keusahawanan moden yang diterapkan dengan nilai-nilai Islam seperti kejujuran, keadilan dan tanggungjawab sosial.
Beliau turut menyarankan Universiti Poly-Tech MARA (UPTM) menggalakkan kajian terhadap pemikiran dan gaya kepimpinan Tun Abdullah.
Ahmad Zahid berharap kesemua cadangan itu dipertimbangkan supaya nama dan legasi Pak Lah terus hidup, bukan sekadar dalam lipatan sejarah, tetapi melalui dasar dan tindakan yang diterapkan dalam jiwa bangsa.
Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi meninggal dunia pada 18 April lalu pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara.
Beliau dikenang sebagai seorang pemimpin berperwatakan sederhana dan merendah diri, namun tegas dalam memperjuangkan integriti serta ketelusan dalam pentadbiran.
Digelar sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan, Allahyarham menjadi pelopor kepada konsep pembangunan negara berasaskan kekuatan pembangunan manusia, selain memperkenalkan gagasan Islam Hadhari yang menekankan kemajuan holistik masyarakat dengan penguasaan ilmu dan nilai moral.
Sepanjang pentadbirannya dari tahun 2003 hingga 2009, agenda pembangunan modal insan menjadi keutamaan dalam membina keupayaan dan potensi rakyat Malaysia, di bawah moto Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.
