
SEPANG: Musim haji 1446 Hijrah bersamaan 2025 Masihi secara rasmi melabuhkan tirainya hari ini dengan ketibaan kumpulan terakhir jemaah haji kendalian Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Seramai 102 jemaah disambut dengan penuh rasa syukur oleh ahli keluarga dan para petugas syarikat, menandakan penutup rasmi bagi keseluruhan operasi haji Andalusia tahun ini yang melibatkan 573 jemaah dari seluruh negara.
Menurut Timbalan Ketua Operasi Haji Andalusia, Mohd Nor Hanafie Mohamad Zin, keseluruhan perjalanan operasi haji berjalan lancar meskipun berdepan pelbagai cabaran, khususnya semasa fasa Masyair iaitu kemuncak ibadah haji yang memerlukan persiapan dan penyelarasan rapi.

“Kami sedar ada beberapa kekangan, namun dengan sumber yang ada, kami berusaha sebaik mungkin.
“Fokus utama kami adalah memastikan kelancaran jemaah semasa Masyair, fasa paling kritikal dalam keseluruhan ibadah,” jelasnya ketika ditemui media di KLIA.
Beliau berkata, semua jemaah dapat menunaikan ibadah dengan baik dan teratur, tanpa sebarang insiden kesihatan serius dilaporkan, kecuali satu kes kematian melibatkan seorang jemaah pada 10 Zulhijjah.

Mohd Nor Hanafie turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para jemaah atas kerjasama, kesabaran, dan semangat ukhuwah yang ditunjukkan sepanjang berada di Tanah Suci, selain menghargai komitmen para petugas yang bertungkus-lumus menjayakan operasi haji tahun ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyeru lebih ramai umat Islam terutamanya golongan muda untuk mengambil langkah awal dengan mendaftar akaun Tabung Haji, sekali gus bersiap sedia menunaikan rukun Islam kelima itu.

“Trend masa kini menunjukkan peningkatan dalam kalangan jemaah muda. Mereka lebih sihat, bertenaga dan mudah menyesuaikan diri dengan cabaran di Tanah Suci,” katanya.
Beliau turut menggalakkan bakal jemaah menyertai kursus haji yang disediakan oleh Tabung Haji dan agensi bertauliah sebagai persediaan menyeluruh melibatkan rohani, mental dan fizikal sebelum menunaikan ibadah di Tanah Suci.








