JOHOR BAHRU, 23 Mei -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berucap pada Kongres Nasional PKR 2025 di Persada Johor International Convention Centre hari ini. --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan menghormati segala pandangan berhubung Titah Adendum berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Namun begitu, beliau menekankan isu tersebut masih dalam pertimbangan dan proses mahkamah.
“Tak apa, itu (Titah Adendum) masih dalam urusan mahkamah sekarang. Tak ada masalah, biar mahkamah uruskan.
“Pandangan masing-masing kita hormati, tetapi ia perlu mengikut proses,” katanya kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan UMNO yang memohon agar Titah Adendum berkenaan yang didakwa memberi kebenaran kepada Najib untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah dilaksanakan mengikut kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini menyatakan permohonan itu dibuat susulan pengesahan kewujudan Titah Adendum oleh Peguam Negara, semalam.
Pada Rabu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dilaporkan tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum yang dikatakan merupakan titah daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16. Titah itu didakwa membenarkan Najib menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah.
Bagaimanapun, AGC membangkitkan isu prosedur berhubung usaha untuk mengemukakan titah tersebut sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan Najib di Mahkamah Tinggi.
Najib kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. Beliau telah memfailkan petisyen bagi mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala jumlah denda turut dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
